Titian Ilmu
Membaca Jambatan Ilmu , Bahasa Jiwa Bangsa dan tuntutlah ilmu dunia dan akhirat :)

Wednesday 10 August 2011

Pengalaman Menghadiri Majlis Perkahwinan

Soalan :
Kamu telah menghadiri suatu majlis perkahwinan. Tulis pengalaman kamu semasa menghadiri majlis tersebut.
Saya telah mengikut ibu bapa saya ke majlis perkahwinan anak lelaki sahabat bapa saya. Setibanya di sana, saya melihat ramai tetamu yang datang meraikan majlis tersebut.
Kami disambut oleh ibu bapa pengantin. Selepas bersalaman, kami diberikan sedikit buah tangan . Saya mendapat sekotak gula-gula. Ibu bapa pengantin kelihatan sungguh gembira menyambut para tetamu. Kami dipelawa masuk ke dalam rumah.
Emak mengajak saya masuk ke dalam rumah pengantin . Bilik pengantin dihias indah dengan pelbagai hiasan yang menarik . Saya nampak banyak hadiah tersusun di atas meja kopi di dalam bilik tersebut. Di luar rumah , telah didirikan bebarapa buah khemah untuk para tetamu menjamu selera.
Selepas itu, saya dan ibu keluar untuk menikmati hidangan yang sungguh istimewa . Kami beratur untuk mengambil makanan . Kami makan di dalam khemah yang disediakan. Pelbagai lauk pauk terhidang di atas meja. Semasa sedang makan, kedengaran bunyi paluan kompang. Saya cepat-cepat menghabiskan makanan.
Pasangan pengantin masuk ke dalam rumah dan duduk bersanding di atas pelamin. Ramai orang mengambil kesempatan mengambil gambar pengantin. Saya turut mengambil gambar pasangan pengantin untuk kenangan.
Ibu mengajak saya pulang kerana bapa telah lama menunggu. Saya sungguh gembira kerana dapat menyaksikan majlis perkahwinan yang sungguh meriah.
Dikarang oleh : Mohamad Afiq bin Mohd Jamil
6 UKM Sk. Sungai Petani,Kedah.

Sunday 7 August 2011

Awalan meN-, Apitan meN-…-kan, meN-…I, mempeR-…-kan, mempeR-…i,

SISTEM BAHASA

Awalan meN-, Apitan meN-…-kan, meN-…I, mempeR-…-kan, mempeR-…i, dan Akhiran -kan dan -I

a. Imbuhan pembentuk kata kerja transitif seperti meN-…-kan, meN-…-i, mempeR-…-kan, mempeR-…-I mesti diikuti oleh kata nama/frasa nama selepasnya sebagai unsur objek/penyambut;

Pembahas pertama mengemukakan dalam perbahasan itu hujah-hujah yang bernas.( X )
Pembahas pertama mengemukakan hujah-hujah yang bernas dalam perbahasan itu.( / )


b. Imbuhan kata kerja transitif mempeR- berkata dasar kata adjektif tidak boleh disertai akhiran -kan kerana memberikan maksud yang lewah;

Dia mempercepatkan kayuhannya agar cepat sampai ke sekolah. ( X )
Dia mempercepat kayuhannya agar cepat sampai ke sekolah. ( / )


c. Imbuhan kata kerja transitif memperoleh tidak memerlukan akhiran -i selepasnya;

Pak Saman memperolehi pendapatan yang agak lumayan hasil daripada penjualan kelapa kering. ( X )
Pak Saman memperoleh pendapatan yang agak lumayan hasil daripada penjualan kelapa kering. ( / )


d. Oleh sebab kata dasar had dan khas terbina daripada satu suku kata, maka apitan yang sesuai adalah menge-…-kan, bukannya meng-…-kan;

Zarul menghadkan pengambilan makanannya untuk mengelakkan diri daripada kegemukan. ( X )
Zarul mengehadkan pengambilan makanannya untuk mengelakkan diri daripada kegemukan. ( / )


e. Huruf P bagi imbuhan mempeR-, mempeR-…-kan atau mempeR-…-I tidak boleh digugurkan seperti konsep awalan meN- apabila bertemu dengan huruf awal tertentu pada suatu kata dasar;

Kami telah lama memelajari perkara ini di sekolah. ( X )
Kami telah lama mempelajari perkara ini di sekolah. ( / )


f. Terdapat juga imbuhan awalan meN- yang berbentuk kata kerja tak transitif. Kata kerja ini dibezakan dengan kata kerja berawalan meN- (transitif) kerana tidak mempunyai objek selepasnya.

Pengetahuannya semakin mendalam bidang perubatan . ( X )
Pengetahuannya semakin mendalam dalam bidang perubatan. ( / )


g. Dalam penggunaan meN-…-kan, meN-…-i, mempeR-…-kan atau mempeR-…-I, penggunaan kamus dapat membantu penguasaan tentang makna agar tidak mengelirukan;

Azlan menyerah wang RM10 kepada saya . ( X )
Azlan menyerahkan wang RM10 kepada saya. ( / )
Azlan menyerahi saya wang RM10 kepada saya. ( / )


h. Dalam keadaan ayat pasif diri pertama dan kedua sahaja akhiran -kan atau -I digunakan. Akhiran -kan dan -I tidak boleh digunakan dalam struktur ayat aktif;

Mereka perbudakkan kami selama ini. ( X )
Mereka memperbudakkan kami selama ini. ( / )
Kami diperbudakkan oleh mereka selama ini. ( / )


i. Penggunaan imbuhan yang tidak menepati konteks ayat;

Setelah hari petang, Arjit mengumpulkan semua kambingnya. ( X )
Setelah hari petang, Arjit mengandangkan semua kambingnya. ( / )


http://www.cemerlangbm.com/v2/

Saturday 6 August 2011

Cara-cara Menghormati Guru

Karangan ini sangat baik untuk murid-murid jadikan contoh terutama untuk kumpulan cemerlang.

Cara-cara Menghormati Guru

Tugas guru ialah mengajar di sekolah. Guru mendidik pelajar supaya menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan negara.Guru juga merupakan ibu bapa kedua kepada anak-anak di sekolah kerana pelajar banyak menghabiskan masa di sekolah. Terdapat beberapa cara untuk menghargai jasa guru.

Guru akan berasa dihargai apabila pelajar menghormati guru. Guru perlu dihormati kerana guru menyampaikan ilmu kepada kita. Guru juga mendidik kita supaya menjadi orang yang berguna. Contohnya, pelajar boleh mengucapkan selamat sejahtera apabila berjumpa dengan guru. Pelajar juga tidak boleh sombong terhadap guru.

Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah mereka. Mereka mesti menghantar kerja sekolah mengikut masa yang ditetapkan. Jika terdapat kesalahan dalam latihan,guru akan membetulkannya. Jadi,guru wajar dihargai kerana selalu membantu murid mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Mereka juga boleh menghargai guru dengan cara berdisiplin semasa di sekolah. Disiplin sangat penting kerana boleh menjadikan mereka berjaya dalam pelajaran. Mereka perlu mematuhi peraturan sekolah. Sebagai contoh, mereka perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, melepak dan lain-lain. Oleh itu, jadilah pelajar yang berdisiplin.

Pelajar boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru. Pelajar boleh membantu guru dengan membawakan buku-buku guru ke bilik guru. Menghargai guru juga bermaksud mengenang jasa guru. Hal ini disebabkan guru telah banyak berjasa. Sebagai contoh, ketika guru sakit, kita hendaklah menziarahinya. Dengan ini guru akan berasa gembira dan bangga terhadap pelajarnya.

Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup menerangi orang lain. Oleh itu, setiap pelajar perlu menghargai guru. Hal ini kerana guru telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang,gemilang dan terbilang.

Ditulis oleh Cikgu Zainudin

Daisypath Graduation tickers

Daisypath Graduation tickers

PLeaSe LeaVe YouR CoMMeNt At HeRe..

Nasyid/Lagu Pilihan