Titian Ilmu
Membaca Jambatan Ilmu , Bahasa Jiwa Bangsa dan tuntutlah ilmu dunia dan akhirat :)

BM (Kertas 2)

Penulisan Bahagian A

Para pelajar UPSR perlu memberi perhatian kepada bahagian ini. Bahagian A menyumbangkan 10 markah daripada 60 markah bagi kertas 2. Sebenarnya bahagian A amat mudah , murid-murid Cuma perlu membina 5 ayat tentang aktiviti atau situasi dalam gambar . Pelbagai teknik digunakan oleh guru-guru bagi membantu murid-murid, antaranya teknik SAMAT ( S= subjek, A = aktiviti, M= masa , A= alatan dan T = tempat/tujuan ) .

Namun begitu, adakalanya timbul masalah dalam membina ayat kerana pelajar tidak tahu nama alatan yang digunakan . Contohnya :









Murid-murid sekalian,
Murid-murid diingatkan supaya mengenali semua benda yang ada disekitar kita . Contohnya seterika , penyapu dan sebagainya. Pastikan ejaannya betul.

Seterusnya , pastikan kata kerja yang dipilih adalah tepat . Contohnya :

a) Beberapa orang pengakap sedang masak air . ( x )
b) Beberapa orang pengakap sedang menjerang air . ( /)

Terdapat 4 langkah yang perlu dilakukan :
a. Mencari kata kunci soalan ( Terdapat dalam soalan )
b. Menyenaraikan kata kerja ( aktiviti ) yang terdapat dalam petikan .
c. Membina ayat menggunakan kata kerja dan mulakan ayat dengan subjek atau watak.
d. Semak semula ayat dari segi ejaan dan struktur ayat .

a. Langkah pertama

Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A ada tiga, iaitu “tentang”, “aktiviti” atau “situasi”.

Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat “Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat”. Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat.

Walau apapun kunci soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar memulakan ayat dengan subjek (watak).
Contohnya :
Seorang budak lelaki
Dua orang pelajar
Seorang lelaki
Puan Aisyah

JANGAN SEKALI-KALI MENGGUNAKAN KATA GANTI NAMA .
CONTOHNYA :
Mereka atau dia sebagai subjek dalam ayat.
Mereka sedang menyapu sampah. ( X )
Beberapa orang budak perempuan sedang menyapu sampah.( / )

b. Langkah kedua
Senaraikan kata kerja (aktiviti ) yang terdapat gambar. Pastikan murid-murid mengejanya dengan betul. Sekiranya was-was, semak ejaan dalam kamus.







Antara caranya ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan. Senaraikan seberapa banyak kata kerja yang ada.


c. Langkah ketiga.

Calon mula membina ayat berdasarkan kata kerja yang telah disenaraikan.

Dinasihatkan agar calon membina ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan subjek (watak).

Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, bagaimana, mengapa dan bila) atau
i. mengaitkan aktiviti dengan alatan yang digunakan contohnya menyeterika baju menggunakan seterika.
ii. mengaitkan aktiviti dengan tempat - menyeterika baju di dalam bilik.
iii. mengaitkan dengan tujuan - menyeterika baju supaya kelihatan kemas di sekolah. ( supaya baju tidak berkedut )

Contoh:

Watak ,Kata Kerja, dan Maklumat

Beberapa orang murid - menyertai - pertandingan lukisan

- melukis - sempena Hari Kebangsaan

- mewarna - di dewan

Jawapan contoh: Beberapa orang murid yang menyertai pertandingan lukisan sedang melukis dan mewarna lukisan mereka sempena Hari Kebangsaan di dewan.

Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna.

Calon tidak perlu mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan sebagai pengulangan ayat.

Pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan.

Jika tulisan kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan teratur.


d. Langkah keempat

Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada membina ayat pasif.

Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang calon tidak pasti ejaannya. Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah.

Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara “memangkas” dengan “mencantas”, dan “membelah” dengan “mengerat”. Maknanya berbeza mengikut keadaan atau konteks ayat.

Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang berbeza. Contohnya, “Ayah menjual ikan” dengan “Ayah penjual ikan”. Kedua-dua ayat ini membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan.

Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula dengan huruf besar.

Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon menggunakan nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas.

Kesilapan yang sering murid-murid lakukan.

1. Tidak meletakkan nombor dihadapan ayat.
2. Menggunakan huruf kecil pada kata nama khas atau semasa memulakan ayat. (contohnya, ahmad ( x ) )
3. Tidak meletakkan tanda noktah pada penghujung ayat.
4. Salah ejaan . menseterika ( x )
5. Menggunakan kata ganti nama diri atau penanda wacana bagi memulakan ayat
Contoh : Dia sedang menyapu sampah . ( X )
Sementara itu, Salmi pula menyiapkan kerja sekolah.

Hingga jumpa lagi.

Disesuaikan daripada petikan :Berita Harian- 24 Ogos 2009


---------------------------------------------------------------------------------


Pengalaman Menghadiri Majlis Perkahwinan

Soalan :
Kamu telah menghadiri suatu majlis perkahwinan. Tulis pengalaman kamu semasa menghadiri majlis tersebut.
Saya telah mengikut ibu bapa saya ke majlis perkahwinan anak lelaki sahabat bapa saya. Setibanya di sana, saya melihat ramai tetamu yang datang meraikan majlis tersebut.
Kami disambut oleh ibu bapa pengantin. Selepas bersalaman, kami diberikan sedikit buah tangan . Saya mendapat sekotak gula-gula. Ibu bapa pengantin kelihatan sungguh gembira menyambut para tetamu. Kami dipelawa masuk ke dalam rumah.
Emak mengajak saya masuk ke dalam rumah pengantin . Bilik pengantin dihias indah dengan pelbagai hiasan yang menarik . Saya nampak banyak hadiah tersusun di atas meja kopi di dalam bilik tersebut. Di luar rumah , telah didirikan bebarapa buah khemah untuk para tetamu menjamu selera.
Selepas itu, saya dan ibu keluar untuk menikmati hidangan yang sungguh istimewa . Kami beratur untuk mengambil makanan . Kami makan di dalam khemah yang disediakan. Pelbagai lauk pauk terhidang di atas meja. Semasa sedang makan, kedengaran bunyi paluan kompang. Saya cepat-cepat menghabiskan makanan.
Pasangan pengantin masuk ke dalam rumah dan duduk bersanding di atas pelamin. Ramai orang mengambil kesempatan mengambil gambar pengantin. Saya turut mengambil gambar pasangan pengantin untuk kenangan.
Ibu mengajak saya pulang kerana bapa telah lama menunggu. Saya sungguh gembira kerana dapat menyaksikan majlis perkahwinan yang sungguh meriah.
Dikarang oleh : Mohamad Afiq bin Mohd Jamil
                       6 UKM SK. Sungai Petani,Kedah.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Soalan Penulisan UPSR Bahagian B

HIMPUNAN SOALAN PENULISAN UPSR BAHAGIAN B ( 2005 HINGGA 2010 )


SOALAN TAHUN 2005



1 Kamu telah mengikuti Program Motivasi UPSR yang telah dianjurkan oleh sekolah kamu. Ceritakan pengalaman kamu semasa mengikuti program tersebut.

Jenis Karangan : Cereka/Gambaran

2 Pada cuti sekolah yang lalu, kamu berpeluang berkelah bersama-sama keluarga kamu di sebuah tempat yang menarik.
Tulis catatan kamu tentang perkelahan tersebut.

Jenis Karangan : Catatan

3 Rakan anda telah memenangi pertandingan bercerita peringkat daerah. Anda diminta menemuramah rakan anda itu tentang kejayaannya untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.
Tulis temu ramah anda selengkapnya.

Jenis Karangan : Dialog/Temu ramah


SOALAN TAHUN 2006


1 Penjagaan kesihatan diri sangat penting kepada kita.
Tuliskan karangan tentang cara-cara menjaga kesihatan diri

Jenis Karangan : Fakta

2 Kamu diminta untuk menyampaikan ucapan dalam majlis meraikan kejayaan kamu dalam satu pertandingan.
Tulis ucapan kamu selengkapnya.

Jenis Karangan : Ucapan

3 Kamu sedang berbual dengan seorang rakan tentang lawatan yang akan kamu sertai.
Tulis perbualan kamu itu.

Jenis karangan : Dialog/Temu ramah


SOALAN TAHUN 2007



1 Selepas makan tengah hari, kami sekeluarga duduk diruang tamu sambil berbual-bual. Tidak lama kemudian, sebuah teksi berhenti di hadapan rumah. Aku menjenguk keluar. Aku melihat ....
Mulakan cerita kamu dengan :
Aku melihat .....

Jenis Karangan : Melengkapkan cerita


2 Kamu mempunyai jiran-jiran yang baik.
Tulis karangan tentang kebaikan jiran-jiran kamu itu.

Jenis Karangan : Keperihalan

3 Sempena sambutan hari Kemerdekaan, satu pertandingan melukis telah diadakan di tempat tinggal kamu. Kamu telah ditugaskan untuk menulis berita tentang pertandingan tersebut.
Tulis berita itu selengkapnya.

Jenis Karangan : Berita


SOALAN TAHUN 2008


1 Kamu telah memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM500.00 dalam pertandingan lukisan.
Ceritakan cara kamu menggunakan wang tersebut.
Jenis Karangan : Keperihalan

2 Tulis sebuah karangan yang bertajuk “ Orang yang saya sayang”.
Jenis Karangan : Bibliografi

3 Ilmu sangat penting dalam kehidupan.
Tulis sebuah karangan tentang perlunya kita menuntut ilmu.
Jenis karangan : Fakta


SOALAN TAHUN 2009


1 Tulis sebuah cerita dan akhiri cerita kamu dengan ayat-ayat di bawah.
.....Rakan-rakanku mengucapkan tahniah kepadaku. Aku berasa gembira.
Jenis karangan : Cereka/Gambaran

2 Sekoalah kamu atau sekolah kawan kamu telah mengadakan temasya sukan tahunan.
Ceritakan suasana semasa temasya sukan dijalankan.
Jenis karangan : Gambaran/Keperihalan

3 Tulis sepucuk surat kepada abang kamu untuk menceritakan tentang persediaan yang kamu lakukan bagi menghadapi UPSR.
Tulis surat itu selengkapnya.
Jenis Karangan : Surat Kiriman tidak rasmi


SOALAN TAHUN 2010


1 Kamu telah membaca sebuah buku yang menarik. Tulis sebuah karangan tentang buku kamu yang telah kamu baca itu.
Jenis Karangan : Keperihalan

2 Kamu telah menyertai kem kecemerlangan UPSR yang telah dianjurkan oleh sekolah kamu.
Tulis faedah-faedah yang kamu peroleh setelah kamu menyertai kem tersebut. Jenis Karangan : Fakta

3 Unit beruniform di sekolah kamu telah mengadakan perkhemahan. Sebagai setiausaha, kamu diminta menulis laporan tentang perkhemahan tersebut.
Tulis laporan itu selengkapnya.
Jenis karangan : Laporan

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


KARANGAN JENIS CATATAN

Contoh Karangan Diari/ Catatan

Sekolah kamu telah mengadakan sambutan Hari Guru. Tulislah catatan lengkap tentang aktiviti sambutan Hari Guru yang telah dijalankan pada hari tersebut.

ISNIN, 16 MEI 2011

7.45 pagi
Semua guru diarak ke dewan diiringi kumpulan kompang sekolah bagi meraikan sambutan Hari Guru 2011 . Semua guru mengambil tempat masing-masing dan kelihatan ceria.

8.00 pagi
Acara dimulakan dengan ucapan daripada Guru Besar . Seterusnya, Puan Hasmah membaca perutusan Yang Berhormat Menteri Pelajaran dan Encik Nordin pula membaca perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

8.45 pagi
Sukaneka dimulakan dengan acara “Simpul Kasih” . Selain itu, terdapat pelbagai acara sukaneka lain yang menarik . Perlawanan bola jaring turut diadakan antara murid dan guru.

10.00 pagi
Majlis berhenti rehat. Murid-murid dan para guru menikmati ais krim dan pelbagai jenis kuih muih .

10.30 pagi
Acara persembahan diadakan di dewan sekolah. Beberapa orang murid dan guru mengambil bahagian dalam acara nyanyian dan lakonan . Setiap persembahan mendapat tepukan gemuruh daripada semua murid.

11.45 pagi
Upacara penyampaian hadiah bagi acara sukaneka . Kumpulan 5 telah menjadi johan bagi keseluruhan acara. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Yang Dipertua PIBG,Encik Zakaria.

12.45 tengah hari
Semua murid dibenarkan balik . Para guru diraikan pula dalam satu jamuan makan tengah hari sempena Hari Guru. Acara pertukaran hadiah turut diadakan bagi memeriahkan acara.

Daisypath Graduation tickers

Daisypath Graduation tickers

PLeaSe LeaVe YouR CoMMeNt At HeRe..

Nasyid/Lagu Pilihan