Titian Ilmu
Membaca Jambatan Ilmu , Bahasa Jiwa Bangsa dan tuntutlah ilmu dunia dan akhirat :)

Friday, 30 September 2011

Penulisan -Bahagian A ( Siri 1 )

Penulisan Bahagian A ( siri 1 )

Para pelajar UPSR perlu memberi perhatian kepada bahagian ini. Bahagian A menyumbangkan 10 markah daripada 60 markah bagi kertas 2. Sebenarnya bahagian A amat mudah , murid-murid Cuma perlu membina 5 ayat tentang aktiviti atau situasi dalam gambar . Pelbagai teknik digunakan oleh guru-guru bagi membantu murid-murid, antaranya teknik SAMAT ( S= subjek, A = aktiviti, M= masa , A= alatan dan T = tempat/tujuan ) .

Namun begitu, adakalanya timbul masalah dalam membina ayat kerana pelajar tidak tahu nama alatan yang digunakan . Contohnya :






Saturday, 24 September 2011

Aktiviti Selepas UPSR - Bahasa Melayu

PROGRAM SELEPAS UPSR 2011
MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU

Selepas UPSR 2011 , pertandingan mencipta dan berpantun telah diadakan pada 20 September . Pandai juga anak murid cikgu berpantun . Ada juga yang berbakat mencipta pantun.
Untuk menghargai bakat murid-murid tersayang, cikgu terbitkan beberapa pantun yang bermakna . Semoga kita mendapat manfaat .
Pantun Nasihat
Buah durian raja buahan,
Isinya kuning durinya tajam;
Dekatkan diri dengan tuhan,
Hidup di dunia aman tenteram.
( oleh Ruhil Karimah – 6 USM )

Hinggap tempua di pohon sena,
Terbang melayang di ruang angkasa;
Jadilah diri anak berguna,
Mengenang budi membalas jasa.
( oleh Erin Farina Najihah – 6 USM )

Berbaju kurung di hari raya,
Semua orang cantik berseri;
Kalau nanti sudah berjaya,
Jangan pula lupa diri.
( oleh Nuratiqah Najihah bt Abd Latiff- 6 UKM )

Sudah berusaha sehabis daya,
Semoga impian menjadi kenyataan;
Jika kita telah berjaya,
Ayah bonda usah dilupakan.
( oleh Nur Zahrawani bt Zunkifli – 6 UM )

Biar ilmu penuh di dada,
Itulah harta itulah azimat;
Dengarlah nasihat ayah bonda,
Hidup pasti akan selamat.
( Nur Ayunee Umaira bt Omar – 6 UM )

Kalau tuan pergi ke kedai,
Belikan saya sehelai seluar;
Kalau mahu menjadi pandai,
Hendaklah sentiasa rajin belajar.
( Naziha bt Jamaludin – 6 UKM )

Wednesday, 10 August 2011

Pengalaman Menghadiri Majlis Perkahwinan

Soalan :
Kamu telah menghadiri suatu majlis perkahwinan. Tulis pengalaman kamu semasa menghadiri majlis tersebut.
Saya telah mengikut ibu bapa saya ke majlis perkahwinan anak lelaki sahabat bapa saya. Setibanya di sana, saya melihat ramai tetamu yang datang meraikan majlis tersebut.
Kami disambut oleh ibu bapa pengantin. Selepas bersalaman, kami diberikan sedikit buah tangan . Saya mendapat sekotak gula-gula. Ibu bapa pengantin kelihatan sungguh gembira menyambut para tetamu. Kami dipelawa masuk ke dalam rumah.
Emak mengajak saya masuk ke dalam rumah pengantin . Bilik pengantin dihias indah dengan pelbagai hiasan yang menarik . Saya nampak banyak hadiah tersusun di atas meja kopi di dalam bilik tersebut. Di luar rumah , telah didirikan bebarapa buah khemah untuk para tetamu menjamu selera.
Selepas itu, saya dan ibu keluar untuk menikmati hidangan yang sungguh istimewa . Kami beratur untuk mengambil makanan . Kami makan di dalam khemah yang disediakan. Pelbagai lauk pauk terhidang di atas meja. Semasa sedang makan, kedengaran bunyi paluan kompang. Saya cepat-cepat menghabiskan makanan.
Pasangan pengantin masuk ke dalam rumah dan duduk bersanding di atas pelamin. Ramai orang mengambil kesempatan mengambil gambar pengantin. Saya turut mengambil gambar pasangan pengantin untuk kenangan.
Ibu mengajak saya pulang kerana bapa telah lama menunggu. Saya sungguh gembira kerana dapat menyaksikan majlis perkahwinan yang sungguh meriah.
Dikarang oleh : Mohamad Afiq bin Mohd Jamil
6 UKM Sk. Sungai Petani,Kedah.

Sunday, 7 August 2011

Awalan meN-, Apitan meN-…-kan, meN-…I, mempeR-…-kan, mempeR-…i,

SISTEM BAHASA

Awalan meN-, Apitan meN-…-kan, meN-…I, mempeR-…-kan, mempeR-…i, dan Akhiran -kan dan -I

a. Imbuhan pembentuk kata kerja transitif seperti meN-…-kan, meN-…-i, mempeR-…-kan, mempeR-…-I mesti diikuti oleh kata nama/frasa nama selepasnya sebagai unsur objek/penyambut;

Pembahas pertama mengemukakan dalam perbahasan itu hujah-hujah yang bernas.( X )
Pembahas pertama mengemukakan hujah-hujah yang bernas dalam perbahasan itu.( / )


b. Imbuhan kata kerja transitif mempeR- berkata dasar kata adjektif tidak boleh disertai akhiran -kan kerana memberikan maksud yang lewah;

Dia mempercepatkan kayuhannya agar cepat sampai ke sekolah. ( X )
Dia mempercepat kayuhannya agar cepat sampai ke sekolah. ( / )


c. Imbuhan kata kerja transitif memperoleh tidak memerlukan akhiran -i selepasnya;

Pak Saman memperolehi pendapatan yang agak lumayan hasil daripada penjualan kelapa kering. ( X )
Pak Saman memperoleh pendapatan yang agak lumayan hasil daripada penjualan kelapa kering. ( / )


d. Oleh sebab kata dasar had dan khas terbina daripada satu suku kata, maka apitan yang sesuai adalah menge-…-kan, bukannya meng-…-kan;

Zarul menghadkan pengambilan makanannya untuk mengelakkan diri daripada kegemukan. ( X )
Zarul mengehadkan pengambilan makanannya untuk mengelakkan diri daripada kegemukan. ( / )


e. Huruf P bagi imbuhan mempeR-, mempeR-…-kan atau mempeR-…-I tidak boleh digugurkan seperti konsep awalan meN- apabila bertemu dengan huruf awal tertentu pada suatu kata dasar;

Kami telah lama memelajari perkara ini di sekolah. ( X )
Kami telah lama mempelajari perkara ini di sekolah. ( / )


f. Terdapat juga imbuhan awalan meN- yang berbentuk kata kerja tak transitif. Kata kerja ini dibezakan dengan kata kerja berawalan meN- (transitif) kerana tidak mempunyai objek selepasnya.

Pengetahuannya semakin mendalam bidang perubatan . ( X )
Pengetahuannya semakin mendalam dalam bidang perubatan. ( / )


g. Dalam penggunaan meN-…-kan, meN-…-i, mempeR-…-kan atau mempeR-…-I, penggunaan kamus dapat membantu penguasaan tentang makna agar tidak mengelirukan;

Azlan menyerah wang RM10 kepada saya . ( X )
Azlan menyerahkan wang RM10 kepada saya. ( / )
Azlan menyerahi saya wang RM10 kepada saya. ( / )


h. Dalam keadaan ayat pasif diri pertama dan kedua sahaja akhiran -kan atau -I digunakan. Akhiran -kan dan -I tidak boleh digunakan dalam struktur ayat aktif;

Mereka perbudakkan kami selama ini. ( X )
Mereka memperbudakkan kami selama ini. ( / )
Kami diperbudakkan oleh mereka selama ini. ( / )


i. Penggunaan imbuhan yang tidak menepati konteks ayat;

Setelah hari petang, Arjit mengumpulkan semua kambingnya. ( X )
Setelah hari petang, Arjit mengandangkan semua kambingnya. ( / )


http://www.cemerlangbm.com/v2/

Saturday, 6 August 2011

Cara-cara Menghormati Guru

Karangan ini sangat baik untuk murid-murid jadikan contoh terutama untuk kumpulan cemerlang.

Cara-cara Menghormati Guru

Tugas guru ialah mengajar di sekolah. Guru mendidik pelajar supaya menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan negara.Guru juga merupakan ibu bapa kedua kepada anak-anak di sekolah kerana pelajar banyak menghabiskan masa di sekolah. Terdapat beberapa cara untuk menghargai jasa guru.

Guru akan berasa dihargai apabila pelajar menghormati guru. Guru perlu dihormati kerana guru menyampaikan ilmu kepada kita. Guru juga mendidik kita supaya menjadi orang yang berguna. Contohnya, pelajar boleh mengucapkan selamat sejahtera apabila berjumpa dengan guru. Pelajar juga tidak boleh sombong terhadap guru.

Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah mereka. Mereka mesti menghantar kerja sekolah mengikut masa yang ditetapkan. Jika terdapat kesalahan dalam latihan,guru akan membetulkannya. Jadi,guru wajar dihargai kerana selalu membantu murid mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Mereka juga boleh menghargai guru dengan cara berdisiplin semasa di sekolah. Disiplin sangat penting kerana boleh menjadikan mereka berjaya dalam pelajaran. Mereka perlu mematuhi peraturan sekolah. Sebagai contoh, mereka perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, melepak dan lain-lain. Oleh itu, jadilah pelajar yang berdisiplin.

Pelajar boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru. Pelajar boleh membantu guru dengan membawakan buku-buku guru ke bilik guru. Menghargai guru juga bermaksud mengenang jasa guru. Hal ini disebabkan guru telah banyak berjasa. Sebagai contoh, ketika guru sakit, kita hendaklah menziarahinya. Dengan ini guru akan berasa gembira dan bangga terhadap pelajarnya.

Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup menerangi orang lain. Oleh itu, setiap pelajar perlu menghargai guru. Hal ini kerana guru telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang,gemilang dan terbilang.

Ditulis oleh Cikgu Zainudin

Thursday, 21 July 2011

Karangan Jenis Menyambung Cerita

Ini adalah contoh karangan seorang murid semasa ujian .Saya rasa jalan ceritanya baik dan dikarang secara spontan.Namun begitu, karangan ini telah saya edit sebelum disiarkan.

Soalan:
Loceng sekolah berbunyi. Semua murid keluar dari kelas masing-masing untuk pulang ke rumah. Aku berjalan ke perhentian bas yang terletak di hadapan sekolah. Tiba-tiba...

Mulakan cerita anda dengan : Tiba-tiba ...

Tiba-tiba, aku terlihat ramai orang menuju ke arah perhentian bas . Aku mempercepat langkah . Ada murid sekolah kemalangan .

Hatiku berdebar, rasa-rasanya aku amat mengenali mangsa . Aku mendekati mangsa. Tidak syak lagi Aliya yang terbaring di atas jalan dengan berlumuran darah. Aku berlari mendapatkan sahabatku. Aliya seperti ingin menyatakan sesuatu padaku.

Tidak lama kemudian, ambulans pun tiba. Aku mengiringi Alya ke hospital . Aku melihat kepalanya berdarah dan badannya luka . Dia kelihatan lemah dan tidak bermaya.Alya segera dimasukkan ke wad kecemasan. Sementara menunggu , aku menelefon ibu bapanya .

Ketika aku sedang duduk menanti Alya , ibu bapanya tiba . Mereka tidak dapat menahan kesedihan. Aku menenangkan mereka. kemudian, seorang doktor keluar . Doktor memaklumkan keadaan Alya. Beliau meminta kami banyak berdoa . Alya masih tidak stabil. Dia kehilangan banyak darah.

Tanpa disedari, aku menangis . Aku berdoa semoga Alya selamat . Seterusnya , aku menelefon ibu dan ayah aku memaklumkan kejadian. Aku meminta kebenaran untuk menemani ibu bapa Alya.

Setelah penat menunggu, aku tertidur . Aku terjaga setelah terdengar bunyi riuh rendah . Kebanyakan saudara mara Alya sudah berkumpul di hospital. aku melihat kebanyakan mereka menangis. Seterusnya, aku terdengar mereka menyatakan Alya sudah meninggal dunia.

Aku seperti sedang bermimpi. Aku meminta kepastian daripada ibu Alya. Benar, Alya sudah meninggal . Aku reda kerana Allah lebih menyayanginya. Setiap yang hidup pasti akan mati.


Dikarang oleh : Nurfaizah bt Zamani
Tahun 6 UKM, SK. Sungai Petani,Kedah.

Sunday, 17 July 2011

Sistem Bahasa

Kesalahan Umum Frasa Nama

a. Kesalahan hukum D-M

- Hukum D-M ialah hukum tentang cara kata-kata disusun supaya frasa nama
dapat dibentuk.
- D bermaksud unsur/perkara yang diterangkan atau subjek ayat.
- M bermaksud unnsur/perkara yang menerangkan atau predikat ayat
- Suatu frasa nama unsur D mestilah mendahului M kecuali nama-nama jawatan.

Ah Seng restoran terletak di persimpangan Jalan Melati. (X)
Restoran Ah Seng terletak di persimpangan Jalan Melati. (/)


b. Kesalahan dari segi bentuk jamak;

- Kata nama/frasa nama tidak boleh mengikut kata bilangan yang membawa maksud
banyak

Beberapa masalah-masalah berkaitan remaja perlu ditangani segera. (X)
Beberapa masalah berkaitan remaja perlu ditangani segera. (/)


- Kata nama/frasa nama tidak perlu digandakan menjadi penggandaan
berentak/kata nama ganda berentak
yang membawa maksud jamak tidak boleh hadir selepas kata bilangan tak tentu.

Di daerah ini banyak bukit-bukau. (X)
Di daerah ini banyak bukit. (/)


- Kata nama am/frasa nama am yang mendukung maksud jamak tidak perlu diulang.

Generasi-generasi muda hari ini semakin goyah keimanannya. (X)
Generasi muda hari ini semakin goyah keimanannya.(/)


- Kata nama/frasa nama yang didahului oleh kata bilangan yang membawa
makna/kumpulan tidak perlu diulang atau digandakan.

Kaum petani-petani itu sedang mengerjakan tanah. (X)
Kaum petani itu sedang mengerjakan tanah. (/)


- Kata nama majmuk yang membawa maksud jamak tidak perlu diulang sama ada
sebahagian atau keseluruhannya.

Sultan Mansur Shah suka mendampingi alim-alim ulama. (X)
Sultan Mansur Shah suka mendampingi alim ulama. (/)


- Kata ganti nama diri ketiga iaitu mereka tidak boleh diulang kerana sudah
membawa maksud jamak.

Mereka-mereka itu ialah kawan saya. (X)
Mereka itu ialah kawan saya. (/)


- Kata nama di bahagian subjek tidak perlu diulang jika unsur predikatnya
terbina daripada kata adjektif yang digandakan atau sebaliknya.

Baju-baju itu cantik-cantik belaka. (x)
Baju-baju itu cantik belaka. (/)
Baju itu cantik-cantik belaka. (/)


Sumber : http://www.cemerlangbm.com/v2/

Daisypath Graduation tickers

Daisypath Graduation tickers

PLeaSe LeaVe YouR CoMMeNt At HeRe..

Nasyid/Lagu Pilihan